~Kisah brownies yang dimasak ayah tersayang~
Dua
orang remaja meminta kebenaran ayahnya untuk pergi menonton filem yang
sudah ditonton oleh semua rakan-rakan mereka. Namun selepas membaca
sedikit review filem itu di internet, ayah mereka menolak permintaan
mereka.
“Ah ayah, kenapa tak boleh?” gusar si adik. “Ia dilabel 18-SX, tapi kami berdua dah pun lebih dari 18 tahun!”
Ayahnya membalas, “Ini kerana filem itu terdapat aksi-aksi yang tidak bermoral dan tidak patut ditonton oleh masyarakat umum.”
“Tapi
ayah, itu cuma sebahagian kecil daripada filem itu! Kawan-kawan kami
cakap, filem itu ada 2 jam, tapi aksi-aksi itu hanya beberapa minit
saja! Filem ini ada banyak pengajaran yang lebih besar, seperti
kemenangan kebaikan di atas kejahatan, pengorbanan, dan keberanian.
Review di laman web filem juga ada mengatakan demikian!”
“Jawapan
ayah ialah “tidak” dan ini adalah muktamad. Kamu boleh ajak kawan-kawan
kamu datang ke rumah malam ini dan menonton video-video yang ada dalam
koleksi video keluarga kita. Tapi kamu tidak boleh pergi menonton filem
itu. End of discussion.”
Kedua-dua
anak itu berjalan dengan muka masam mencuka ke ruang tamu dan duduk di
atas sofa. Sambil membayangkan wajah pelakon filem yang tidak akan
mereka tonton, mereka terdengar bunyi dari dapur; seperti bunyi ayah
mereka menyediakan sesuatu. Tidak lama kemudian mereka mengecam bau
aroma brownies sedang dimasak di dalam oven, dan si abang berkata kepada
adiknya,
“Ayah mesti rasa bersalah, dan sekarang
dia hendak mengambil hati kita dengan brownies tu. Mungkin kita boleh
lembutkan hatinya dan memujuknya untuk benarkan kita pergi ke wayang
menonton filem itu.”
Kedua-dua remaja itu tidak
kecewa. Tidak lama kemudian, ayah mereka muncul dari dapur dengan satu
pinggan brownies yang masih panas dari oven, dan memberinya kepada kedua
orang anaknya. Kedua-dua mereka mengambil satu brownies.
Kemudian
si ayah berkata, “Sebelum kamu semua makan, ayah nak cakap sesuatu.
Ayah sayangkan kamu berdua.” Kedua-dua remaja itu saling berpandangan
antara satu sama lain dengan senyuman penuh makna. “Ayah dah lembut
hati,” bisik hati mereka.
“Itulah sebabnya ayah
membuat brownies ini menggunakan bahan-bahan yang terbaik. Hampir
kesemua bahan adalah organik; tepung organik yang terbaik, telur ayam
Omega-3 gred A, gula organik yang terbaik, Vanilla Premium dan coklat
yang paling enak.”
Brownies itu kelihatan sungguh melazatkan,
dan kedua remaja itu menjadi semakin tidak sabar lagi untuk merasai
kesedapannya kerana ditangguhkan oleh ‘khutbah’ ayahnya yang semakin
panjang.
“Tetapi ayah ingin berlaku jujur kepada kamu berdua. Ada
satu bahan istimewa yang ayah letak dalam brownies itu yang tidak akan
dijumpai oleh mana-mana brownies lain. Dan bahan itu ayah ambil dari
belakang rumah kita. Tapi kamu jangan risau, ayah hanya letak sekelumit
sahaja bahan itu ke dalam brownies kamu. Jumlahnya sangatlah sedikit.
Jadi makanlah dan berikan pendapat kamu tentang resepi baru brownies
ayah.”
“Ayah, boleh tak ayah bagitahu apa bahan misteri tu sebelum kami mula makan?” tanya si abang.
“Kenapa? Sikit je jumlah bahan tu yang ayah letak. Satu sudu je. Kamu tak akan boleh perasan pun rasanya.”
“Ala ayah.. bagitahu je la kat kami apa bahan tu” pinta si adik.
“Jangan risau! Bahan tu organik, sama seperti bahan-bahan lain juga”.
“Ayahh..” pinta kedua-dua beradik itu, serentak.
“Ok, kalau kamu bersungguh-sungguh nak tahu. Kandungan misteri itu ialah…. Tahi anjing!!”
Kedua-dua
anak itu terus meletakkan kembali brownies itu ke dalam pinggan dan
mengesat-ngesatkan tangan kanan mereka ke baju dengan penuh rasa
menjijikkan.
“Ayah! Ayah tahu tak yang ayah dah seksa kami dengan
bau brownies yang sedap tu selama setengah jam. Bila dah siap, ayah kata
ayah letak tahi anjing dalam brownies tu. Kami mana boleh makan bende
tu”.
“Kenapa tak boleh pula? Kandungan tahi tu sangat sedikit
kalau dibandingkan dengan bahan-bahan lain. Takkan ada efek punya la..
Ia sudah pun dimasak bersama-sama bahan yang lain. Kamu takkan boleh
perasan pun rasanya. Ia dah pun bersebati dengan bahan-bahan lain
menjadi brownies. Jadi tunggu apa lagi, makanlah!”
“Tak ayah… kami tetap taknak makan!”
“Dan
ini adalah sebab yang sama kenapa ayah tak benarkan kamu berdua pergi
menonton filem tadi. Kamu tak boleh terima sedikit tahi anjing di dalam
pinggan kamu, kenapa kamu boleh terima sedikit adegan tidak bermoral di
dalam filem yang boleh mengotorkan hati kamu? Kita berdoa kepada Allah
yang Dia akan menjaga kita dari mengikut hawa nafsu, tapi kenapa kita
dengan akal fikiran yang waras boleh membenarkan diri kita menonton
sesuatu yang boleh meninggalkan kesan kotor di dalam diri, fikiran dan
hati kita dan terperangkap di dalam lubuk nafsu sesudah itu? Harap kamu
berdua dapat pengajaran yang baik dari peristiwa ini”.
p/s~Hati kita
mati sedikit demi sedikit disebabkan perbuatan kita. Benda atau prkara
yang dianggap kecil sebenarnya boleh memberi impak yang besar dalam
kehidupan tanpa kita sedari.
No comments:
Post a Comment